soalan lazim  hubungi kami   aduan dan maklum balas   peta laman
W3C

Pilihan W3C

Pilihan Warna: red  merah  kuning
Saiz Tulisan:
A- A A+
Jenis Tulisan:
Laman Utama Info Korporat Profil Perutusan Ketua Pengarah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya, kita dikurniakan kesempatan untuk melangkah masuk ke Tahun Baru 2024.   Alhamdulillah, dengan hidayah dan inayahNya jua, kita berjaya mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang tahun 2023.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga IKMa yang telah  memberi komitmen tinggi dan kerjasama padu dalam menjayakan setiap program yang kita rancang sepanjang tahun 2023. Pada tahun ini Gerakan Koperasi di Malaysia telah memasuki tahun yang ke 102. Semoga keterlibatan semua pihak dalam memastikan agenda memartabatkan gerakan koperasi sepanjang tahun lalu, dapat dilipatgandakan lagi pada tahun 2024 ini.

Dalam memperkasakan modal insan koperasi dan berpaksi kepada Dasar Koperasi Malaysia – DAKOM 20230, Pelan Digitalisasi Koperasi – DIGIKOP 2030, Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan 2022-2025, Pelan Strategik IKMa 2023-2025 serta hala tuju latihan pembangunan modal insan 2024, IKMa akan terus memperkasa dan meningkatkan tumpuan kepada digitalisasi dalam latihan, pendidikan dan bimbingan kepada koperasi melalui program latihan bersasar. Antara bidang  tumpuan  yang akan dilaksanakan oleh IKMa tahun 2024 adalah:

i.   Program Pembangunan Kepimpinan (PIMPIN)

ii.  Program Asas Perniagaan Koperasi (COOPBIF)

iii. Program Belia dan Masyarakat

iv. Program Khidmat Bimbingan Koperasi Bersasar

Sehingga Disember 2023, IKMa telah melaksanakan sebanyak 836 buah program secara bersemuka dan dalam talian dengan bilangan penyertaan peserta seramai 38,961 orang.  IKMa juga telah membuka beberapa cawangan Institut Koperasi Malaysia yang baharu sebagai salah satu usaha menyantuni koperator-koperator di lokaliti. Antaranya adalah di Ipoh Perak, Kuala Terengganu, Terengganu di Miri, Sarawak dan Tawau, Sabah. 

IKMa juga telah menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang merupakan universiti milik penuh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Universiti ini telah mendapat kelulusan penubuhannya daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tanggal 28 Mac 2022.

UKKM ditubuhkan khusus dan memfokus kepada pengurusan koperasi, perdagangan dan perniagaan selaras dengan usaha IKMa untuk memartabatkan industri koperasi di negara ini. UKKM juga merupakan universiti pertama di Malaysia yang berkebitaraan dan memberi tumpuan kepada bidang Keusahawanan Koperasi. Lima program telah bermula pada tahun 2023 iaitu Diploma Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Diploma Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi) (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi) (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi).

Saya berharap, warga IKMa dapat terus meningkatkan momentum prestasi sedia ada dan kekal cekal  berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang, dalam usaha kita merealisasikan Dasar Koperasi Malaysia – DAKOM 2030 dan Pelan Digitalisasi Koperasi – DIGIKOP 2030 demi kemajuan dan kelestarian Gerakan Koperasi.

Selamat Menyambut Tahun Baharu dan semoga 2024 membawa seribu rahmat dan keberkatan buat  kita semua. Insya-Allah.

DATUK MOHD ALI BIN MANSOR

KETUA PENGARAH

INSTITUT KOPERASI MALAYSIA (IKMa)

Undian
Adakah infomasi di dalam Portal IKM memenuhi ekspektasi dan keperluan pelanggan?